Objek Harian, Memori dan Momen serta hubungkaitnya dengan Karya Seni Visual.Objek Harian, Memori dan Momen serta hubungkaitnya dengan Karya Seni Visual.
Mohamad Hafiz bin Yahaya
2016
Published in Idealogy (vol 2): Journal of Art & Culture (UiTM, Malaysia & ISBI, Indonesia).
Abstrak.
Kajian ini adalah untuk menyelidik hubungkait di antara penggunaan objek harian dan pengaruhnya serta pembinaan memori dan momen dalam kehidupan individu. Penggunaan objek di dalam kehidupan seseorang merupakan suatu bentuk praktis yang mempunyai konotasi yang pelbagai, ia boleh merangkumi aspek pengalaman, atau ingatan memori, terhadap bentuk-bentuk sesuatu kejadian yang memberi ingatan dan membentuk emosi dalam kehidupan seseorang. Kajian ini akan melihat sejauhmanakah peranan penggunaan objek boleh membentuk suatu pengalaman visual yang distruktur semula dengan melalui proses integrasi terhadap objek-objek yang dipilih, yang tertumpu pada bentuk, kontek, dan konsep. Melalui pembinaan dan pensturukturan semula objek yang diguna boleh memberi bentuk pengayaan baru terhadap bagaimana manusia menafsir pengalaman peribadi yang boleh dikongsi bersama melalui visual tampak. Penulisan ini diharap mampu membuka satu perkongsian pengalaman baru terhadap pemerhati mengenai estetika objek harian dan karya seni.
Kata kunci Objek, Seni Visual Memori, Momen, , Emosi
Objek Harian, Memori dan Momen serta hubungkaitnya dengan Karya Seni Visual.
Oleh : Mohamad Hafiz Bin Yahaya
“The artist is a receptacle for emotions that come from all over the place: from the sky, from the earth, from a scrap of paper, from a passing shape, from a spider’s web.”,
Pablo Picasso
Kajian ini adalah untuk menyelidik hubungkait di antara karya seni dengan objek harian serta pengaruhnya terhadap pembinaan memori dan momen dalam kehidupan individu. Penggunaan objek di dalam kehidupan seseorang merupakan suatu bentuk praktis yang mempunyai konotasi yang pelbagai, ia boleh merangkumi aspek pengalaman, atau ingatan memori, terhadap bentuk-bentuk sesuatu kejadian yang memberi ingatan dan membentuk emosi dalam kehidupan seseorang. Menurut Norman (1990), di dalam kehidupan manusia sentiasa dikelilingi dengan objek industri yang direka dengan tujuan membantu dan mempermudahkan kehidupan seharian manusia. Objek ini yang merangkumi perkakasan pejabat, komunikasi, perabot, pakaian, peralatan rumah dan peralatan peribadi. Penggunaan objek harian di dalam kehidupan mewujudkan satu pertalian di antara pengguna dan objek. Artifak, harta peribadi, dan benda disekeliling kehidupan manusia dari lahir sehingga mati banyak memainkan peranan di dalam kehidupan manusia (Camic, 2010). Menurut Goergevits (2007), artifak (objek harian) samada besar atau kecil dan samada ianya privasi atau awam mampu mewujudkan perasaan masa lalu atau memori terhadap individu.
Saintis sosial menyarankan mengenai objek yang dijumpai atau dibeli mempunyai pelbagai fungsi dan makna di dalam kehidupan seharian individu atau masyarakat (Camic, 2010). Childe (1936), ahli arkeologi berpendapat bahawa objek kegunaan harian memberikan satu petunjuk terhadap perkembangan kehidupan seharian serta mencadangkan objek juga boleh digunakan untuk melihat perilaku individu manusia. Objek juga dari perspektif Mills (2009) dapat memberikan satu pemahaman terhadap kerangka kehidupan manusia yang menjurus kepada pembinaan memori dan momen dalam kehidupan lalu seseorang individu. Bagi penyelidik, kebolehan interaksi antara kehidupan seharian dengan seni dapat memberikan ekspresi terhadap keunikan serta keinginan pelukis untuk mentranformasikan objek menjadi karya seni yang dipengaruhi oleh konteks, emosi, sesuatu keadaan, lokasi, dan pemikiran luaran atau dalaman, yang menyatakan manifestasi seni yang mampu membentuk makna dan fungsi seni.
Berkembangnya gaya hidup masyarakat dari satu sisi boleh menjadi petanda positif dimana peningkatan kegiatan konsumerisma dilihat sebagai kesan dari meningkatnya penghasilan dan taraf hidup masyarakat. Konsumerisma menjadi pegangan hidup bagi sebahagian masyarakat sehingga setiap aktiviti yang dilakukan didasari oleh kehendak konsumer (Giorgio & O’Brien, 2004). Konsumer juga terus dilakukan oleh masyarakat seiring dengan perkembangan zaman sehingga kini. Kesan budaya massa dan industri merupakan titik tolak terhadap ketamadunan manusia moden. Banyak sejarah telah dibentuk melalui fasa-fasa ini, dan sejarah telah memberi banyak kenangan pahit dan manis untuk dikenangi oleh manusia. Budaya industri juga telah meninggalkan kesan besar terhadap masyarakat sehingga kini. Produk-produk dari budaya industri telah memberi isyarat mengenai kepentingannya walaupun dalam keadaan terganggu pada awal penerimaannya, tetapi setiap darinya adalah model kepada ekonomi permesinan yang besar dan berpotensi, di mana sejak dari permulaannya ia meletakkan manusia dalam keadaan selesa samada di tempat kerja ataupun di masa lapang (Hockhmeir & Adorno, 2002).
Kesan pembangunan ekonomi dan kebudayaan di seluruh dunia meningkatkan taraf hidup sosial sesuatu masyarakat. Wujud pelbagai kesan dan impak terhadap persekitaran bila pembangunan ekonomi di selaraskan ke taraf negara maju. Dalam keadaan yang samar mengenai kapitalis yang melibatkan revolusi industri dan pengiklanan, masyarakat akan dinilai bukan dengan cara hidupnya tetapi lebih kepada apa yang dimilikinya (Twitchell, 2002). Ahli falsafah John Dewey (1910) berpendapat bahawa segala pengalaman manusia adalah kaitan diantara objek dan interaksi manusia terhadapnya. Ini memperlihatkan perkembangan kehidupan manusia sentiasa dikelilingi dengan objek dan interaksi antara manusia dan objek mempunyai satu pertalian yang rapat sehingga ahli sejarah dan psikologi mengambil berat terhadap kepentingan objek harian di dalam kehidupan manusia. Ianya meliputi pengalaman estetik, pembentukan emosional dan perkembangan sosial serta bagaimana perasaan manusia terhadap objek membentuk satu identiti Camic (2004).
Di dalam kesedaran terhadap budaya dan praktis seni, terdapat keghairahan terhadap bahan buangan dan kitar semula dimana kedua-duanya terlibat secara langsung di dalam aktiviti budaya dan pembangunan teknologi serta kedua-duanya melibatkan memori masa lalu terhadap tempat dan sesuatu kejadian, (Neville & Villeneuve, 2002). Menurut Camic (2010), di dalam sejarah dan perkembangan seni visual, terdapat satu waktu dimana pelukis terdahulu menggunakan objek terbuang, objek jumpaan dan objek industri sebagai bahan, simbol, dan makna didalam penghasilan karya individu. Setelah berlakunya revolusi industri serta kesan peperangan lampau, pelukis mula berpaling dari alam dan mengambil objek industri sebagai bahan dan idea didalam penghasilan karya. Papastergiadis (2010) menyatakan apabila diletakkan kaitan diantara sejarah avant garde dan konsep kehidupan seharian membolehkan penilaian semula ke atas praktis seni di mana budaya arus perdana yang dianggap remeh boleh dijadikan subjek kajian di dalam praktis kesenian. Dari gerakan Dadaist dan Surrealist sehingga ke gerakan Situa-tionist dan Fluxus (aliran isme seni kontemporari), terdapat beberapa eksperimen secara berterusan terhadap penggunaan objek kegunaan harian di dalam amalan seni moden. Hasilnya tidak hanya tertumpu kepada dokumentasi sesuatu artifak (objek) dunia moden tetapi ia juga melibatkan penyertaan praktis artistik dengan teknik-teknik industri dalam membebaskan potensi kreatif di dalam kehidupan moden.
Menurut Jean Baudrillard, objek di dalam kehidupan yang digunakan pada sesuatu masa, mewakili sesuatu peristiwa yang berkait dengan pengguna. Walaupun bentuk fizikalnya sahaja yang disentuh manusia tetapi perasaan antara pengguna dan objek yang digunakan cuma dapat dijelaskan oleh individu terbabit sahaja, perasaan ini merupakan satu bentukan memori diantara manusia dan objek, (Elsner & Cardinal, 1994). Objek juga boleh membuatkan masyarakat untuk melihat peristiwa yang mungkin tidak pernah disaksikan oleh mereka, tetapi sensitiviti individu yang peribadi mungkin menjadi perhubungan diantaranya dan oleh sebab inilah objek dilihat sangat penting didalam menilai memori seseorang dan masyarakat (Georgevits, 2007). ‘Momen dan memori’ sangat berkait rapat antara satu sama lain. Momen adalah tempoh tertentu, kepentingan, momentum, pengaruh, faktor penting serta momentum masa dalam sesuatu ruang. Memori pula merupakan kuasa minda untuk mengingati sesuatu, kuasa seseorang untuk mengingati sesuatu perkara, serta proses di mana informasi dikod, disimpan, dan dipanggil semula (Georgevits, 2007).
Karya seni visual dan objek harian.
Objek jumpaan (found object ) dan ready made juga telah digunakan oleh seniman yang lain di sekitar abad ke- 20. Di antara pelukis yang menggunakan objek ialah Kurt Schwitters, Pablo Picasso, Robert Rauschenberg, Joseph Cornell, Carl Andre, Tony Cragg, Bill Woodrow, Sarah Lucas, Michael Landy,Vik Muniz, Damiens Hirst, Tracey Emin, dan ramai lagi (Pinto, 2015). Objek kegunaan harian mula dijadikan bahan oleh pelukis untuk menterjemahkan ekspresi dan idea individu setelah jumpaan ‘ready made’ oleh Marcel Duchamp. Bahan-bahan kegunaan harian dikaji, dieksploitasi, dan digabungkan untuk membentuk hasil karya seni yang pelik dan mencabar sejarah perkembangan seni. Seniman Dadaisma dikatakan menghasilkan karya seni dengan mencabar realiti audiens dengan mengaitkan sejarah dan pemikiran separa sedar terhadap kontek semasa (ketika peperangan) dan semangat nasionalisma, (Richter, 1965). Seniman Surrealisma pula menganggap objek mempunyai roh, lalu mengangkat objek sebagai elemen penting di dalam kehidupan manusia (Baldwin, 1988). Gascoygne (1936) menulis mengenai pelukis yang menggunakan ‘bahan pelik’ yang merujuk kepada objets troueves (objek jumpaan) didalam karya surealisma yang mewakili sesuatu simbol penting tersembunyi didalam objek dan ianya dipelihara apabila objek tersebut ‘dibekukan’ sebagai karya seni. Di dalam seni kontemporari, penghasilan karya seni menggunakan objek merangkumi konteks, konsep, idea, spiritual, bahan, dan simbol. Pelukis juga lebih selesa menggunakan objek untuk menyatakan ekpsresi terhadap kehidupan seharian yang dilalui oleh pelukis sendiri.
Manusia mengalami pengalaman kehidupan seharian yang telah menjadi rutin peribadi yang biasa bagi individu dan rutin yang sama mungkin dilalui oleh individu lain atau masyarakat (Inglis, 2005). Rutin yang normal melibatkan aktiviti kehidupan dari bangun dari tidur di awal pagi sehingga ke malam sewaktu individu tidur. Menurut Anthony Giddens (Tomlinson, 1997), kita hidup dari sehari ke sehari di mana apa yang kita lakukan adalah rutin harian, pakai pakaian yang kita miliki, berjalan sekeliling tempat-tempat yang biasa dilalui dan lakukan aktiviti seharian yang biasa dilakukan setiap hari adalah rutin hariaan kita. Perkara-perkara ini adalah sebahagian daripada aktiviti sosial manusia yang sukar untuk dijelaskan melainkan manusia itu merasainya sendiri. Ini menjelaskan bahawa kehidupan seharian manusia mengandungi pengaruh yang besar dari apa yang dirasakan. Menurut Georg Simmel, (1950), perkara atau rutin biasa di dalam kehidupan penting kerana ianya boleh mencerminkan ekspresi yang luas terhadap sosial budaya sesuatu masyarakat kerana setiap manusia melalui rutin hariannya yang biasa dan ianya mungkin dikongsi perbuatan yang sama oleh individu yang lain di tempat yang berbeza.
Kehidupan harian manusia mungkin dianggap biasa atau tiada apa-apa yang menarik untuk dibincangkan, namun pelukis mungkin tertarik mengenainya. Pelukis sememangnya menggunakan subjek disekelilingnya untuk dijadikan inspirasi berkarya. Pelukis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana pelukis merupakan individu yang merakam dan mengkaji sejarah secara langsung atau tidak langsung, (Godfrey, 2007). Percampuran tanda dan konsep yang mewakili sumber tempatan dan global mempengaruhi pembentukan budaya harian. Pelukis tidak dapat lari dari terlibat secara langsung di dalam dialog mengenai masyarakat sosial, politikal, estetik dan realiti kehidupan manusia di zamannya (Rump, 2009). Pelukis juga mula melakukan proses kajian (proses berkarya) yang mengundang audiens untuk berfikir mengenai masa lalu dengan membuat hubungan di antara situasi, sifat, dan objek dengan menghubungkannya dengan memori lalu untuk membentuk satu gambaran budaya dengan lebih luas (Godfrey, 2007).
Kaitan di antara objek dan memori di dalam karya seni visual sememangnya dapat dilihat melalui aktiviti kesenian dan aktiviti sosial yang berlaku di dalam sejarah (Lapierre, 1946). Pelukis dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana pelukis merupakan individu yang merakam dan mengkaji sejarah secara langsung atau tidak langsung, (Godfrey, 2007). Pelukis juga mula melakukan proses kajian (proses berkarya) yang mengundang audiens untuk berfikir mengenai masa lalu dengan membuat hubungan di antara situasi, sifat, dan objek dengan menghubungkannya dengan memori lalu untuk membentuk satu gambaran budaya dengan lebih luas (Godfrey, 2007). Pelukis kontemporari tidak hanya menghasilkan karya di dalam studio tetapi mula untuk mencari dan melihat sesuatu isu yang lebih cenderung kepada masyarakat. Papastergiadis (2010) meletakkan seni dalam konteks kehidupan seharian dan penggunaan bahan atau objek harian di dalam penghasilan karya seni telah menjadikan seni sebagai alat untuk menentukan nilai pada estetika karya seni dan memudahkan pemahaman terhadap perkembangan sosial budaya. Di dalam kajian ini, kepentingan objek bukan hanya dilihat dari sudut kaitan di antara pengguna dan objek harian tetapi ianya lebih kepada penilaian perasaan dan pendapat individu terhadap objek di dalam konteks kehidupan manusia.
Amalan praktis seni visual merangkumi idea yang membentuk proses penghasilan karya seni. Imej dan idea yang dihasilkan mempunyai kapasiti untuk tidak cuma menukar perspektif pelukis terhadap realiti, tetapi ianya juga telah mempengaruhi persepsi audiens terhadap karya pelukis. Menurut Leo Tolstoy, seni ialah aktiviti manusia yang mengandungi kesedaran individu dengan maksud merujuk kepada petanda luaran, lalu menyampaikan kepada individu yang lain mengenai perasaan dan pengalaman yang dirasai, serta individu tersebut akan terpengaruh dengan perasaan ini lalu berjangkit dengannya (Popova, 2013). Individu yang menerima penyataan perasaan dan pengalaman individu yang lain melalui perasaan sendiri akan mewujudkan aktiviti dasar yang membentuk seni (Popova, 2013). Menurut Thompson (2006) penyelidikan berasaskan seni difahami sebagai bentuk kajian yang mempunyai banyak bentuk persembahannya, namun ia sebenarnya mudah difahami sebagai “cara untuk mengetahui”.
Menerusi pendapat-pendapat yang diperolehi, kajian ini juga telah memilih beberapa pengkarya seni yang dilihat menerapkan aspek yang berkaitan dengan penggunaan objek kegunaan harian di dalam karya mereka. Pelukis dan karya yang dirujuk akan dibahagikan mengikut dua tajuk yang dicadangkan bagi melihat konteks kajian dengan lebih jelas. Tajuk yang dicadangkan ialah dengan melihat penggunaan objek di dalam penghasilan karya dari konteks objek harian sebagai imbasan memori dan objek harian dan obsesi konsumer.
Objek harian sebagai imbasan memori.
Pengaruh memori dan momen terhadap objek harian mampu membentuk satu kajian terhadap kedudukan masyarakat dan individu. Manusia perlukan sesuatu untuk dijadikan penghubung yang mengaktifkan memori, manusia dapat mengenal sejarah dari bangunan lama, foto-foto lama, surat-surat yang lalu, objek-objek disekitar, bunyi-bunyi yang mengingatkan kita kepada
sesuatu dan mimpi yang berulang-ulang (Hung, 2009). Objek harian merupakan produk konsumer yang dikeluarkan dari kilang dan dihantar kepada pengedar untuk dipasarkan kepada konsumer. Objek-objek harian ini digunakan oleh manusia sehingga tarikh luput atau objek telah rosak. Susur masa objek itu berada dengan seseorang individu akan mewujudkan satu tempoh dan pembinaan memori dari perhubungan manusia dan objek harian. Sejarah yang terkandung disebalik objek harian akan hilang apabila ianya bertukar pemilik atau melalui jangka masa yang terlalu lama dengan pemiliknya tersebut (Jode & Barthel & Smith, 2013). Imbasan memori lalu terhadap sesuatu situasi mampu dicerminkan melalui objek kegunaan harian kerana hubungan di antara objek kegunaan harian dan manusia amat berkait rapat.

Illustrasi 1: Song Dong, Waste Not, Medium Campuran, 2013
Song Dong ialah pelukis konseptual dari Negara China. Karya beliau yang bertajuk ‘Waste Not’ merupakan karya instalasi menggunakan objek harian yang dikumpul oleh ibu pelukis selama beberapa tahun. Objek harian ini merangkumi pinggan, mangkuk, berus gigi, pembalut sabun, tali, lampu, beg plastik, sudu, pakaian serta serpihan rumah pelukis yang berusia lebih dari 100 tahun. Waste Not jika ditafsir di dalam bahasa China klasik ialah Wu Jin Qi Yong yang bermaksud tiada apa-apa yang perlu dilupuskan dan ianya adalah rekod kepada hidup, sejarah kebudayaan China dan simbol kepada arkib yang bersifat keabadiaan arkib (Cotter, 2009). Ibu beliau mula mengumpul objek kegunaan harian setelah kematian bapa pelukis dimana ibunya mengalami kesedihan dan kemurungan, bagi menangani kesedihan ibunya telah mula mengumpul objek kegunaan harian di dalam rumahnya dan aktiviti mengumpul barangan harian mula menjadi satu obsesi pada ibunya (Krischer, 2013).
Kesan dari obsesi ibunya ini telah memberikan beliau idea untuk menukar obsesi mengumpul barangan kegunaan harian kepada membina satu karya instalasi berskala besar. Idea Song Dong ialah untuk memberi ruang buat emaknya menyimpan memori dan sejarah peribadi dan menjadikan karya ini sebagai landasan untuk emaknya berhubung dengan masyarakat serta dapat memulakan kehidupan baru. Ketika karya ini mula-mula dipamerkan di Beijing pada tahun 2005, ramai audiens yang bukan dari golongan seni yang datang ke pameran tersebut dan berbual dengan ibunya mengenai barangan yang dipamerkan serta mereka mula berkomunikasi mengenai barangan yang mereka pernah miliki dan ianya terdapat di dalam pameran tersebut (Hung, 2009). Menurut Song Dong, karya ‘Waste Not’ merupakan karya yang bersifat peribadi, dan karya ini merupakan perhubungan diantara manusia dengan manusia, manusia dengan objek dan objek dengan objek. Karya ini membicarakan mengenai cinta, kekeluargaan dan fungsi seni dalam menyelesaikan permasalahan didalam kehidupan. Zhao Xiangyuan (ibu kepada Song Dong) menyatakan bahawa apabila seseorang tidak lagi berada disekeliling kita (meninggal dunia) dan barang-barang mereka masih berada dengan kita dan ianya seakan memberi satu nostalgia di mana jangka hayat sesuatu objek boleh bertindak sebagai agen mengekalkan memori (Krischer, 2013). Karya-karya Song Dong merupakan satu instalasi kolaberasi bersama Zhao Xingyuan (ibunya).
Karya ini mengenai objek dan pembentukan memori dari hubungan manusia dan objek. Obsesi terhadap objek mewujudkan memori masa lalu yang menyebabkan manusia mangumpul objek-objek harian yang dirasakan penting untuk mengingati sesuatu. Pengaruh memori individu terhadap objek harian mampu membentuk satu pertalian yang merangkumi aspek psikologi. Manusia melalui kehidupan seharian dengan meninggalkan masa lalu, namun sejarah dan memori lalu tetap mengikut kehidupan samada secara nyata atau tidak. Peranan objek mampu membangkitkan sesuatu memori masa lalu yang mungkin terpendam didalam kehidupan manusia.

Illustrasi 2: Yin Xiuzhen, Portable City (series) : Gronigen, Medium Campuran, 2012
Yin Xiuzhen merupakan pelukis kontemporari wanita dari China. Beliau juga merupakan isteri kepada pelukis Song Dong yang dibincangkan melalui karya ‘Waste Not’. Karya Yin Xiuzhen mula mendapat tempat didalam dunia seni kontemporari China apabila beliau menghasilkan karya menggunakan objek jumpaan seperti bahagian-bahagian bangunan lama, bahagian-bahagian mesin yang rosak serta pakaian dan fabrik lama sebagai medium dan metafora di dalam karya beliau. Menurut Masters (2009) Yin Xiuzhen menggunakan objek harian sebagai bentuk fizikal terhadap memori atau pengalaman lalu yang mewujudkan penceritaan yang boleh mewakili sesuatu sejarah, ini membuatkan objek boleh mentafsirkan sesuatu peristiwa dengan lebih terperinci dan meluas terhadap sejarah.
Pada tahun 1995, beliau mula menghasilkan siri karya instalasi bertajuk ‘suitcase’ dimana beg pakaian beliau yang berisi pakaian lama telah disaluti dengan simen, menurut beliau pakaian mewakili pengalaman, memori, dan menandakan sesuatu jangka masa (Hung, 2009). Karya-karya beliau selepas itu mula menggunakan pakaian yang dibentuk sebagai bangunan dan landskap kota yang dihasilkan di dalam bagasi pakaian. Karya-karya ini dihasilkan dalam siri
karya arca instalasi menerusi siri ‘Portable City’. Yin Xiuzhen mula menganalisa tema seperti memori, kesementaraan, keberangkatan (penghijrahan), kegoyahan serta melihat kesan-kesannya terhadap perubahan besar masyarakat di bandar seperti Beijing dan Shanghai (Cushman, 2010). Beliau menyatakan jika bandar mulai berubah atau berkembang, memori akan mula hilang dan kemungkinan lenyap terus dari pemikiran manusia.
Karya Yin Xiuzhen merupakan pertalian diantara objek dan memori di dalam kehidupan manusia. Beliau menggunakan fabrik dan pakaian lama bagi mewujudkan perasaan manusia dan sekeliling. Penggunaan pakaian merupakan objek yang paling tepat untuk membangkitkan memori manusia kerana pakaian merupakan objek yang digunakan manusia setiap hari. Walaupun karya Portable City (series) : Gronigen (dan karya-karya lain di dalam siri Portable City) menumpukan kepada bentuk-bentuk landskap kota, tetapi penyelidik memilih pelukis Yin Xiuzhen dan karyanya untuk dirujuk adalah kerana penggunaan idea terhadap memori yang beliau tampilkan di dalam karya-karyanya.
Objek harian dan konsumer.
Menurut Jean Baudrillard (1998):
Di dalam masyarakat kosumer, objek-objek konsumer yang berbentuk produk tidak lagi sekadar memiliki manfaat (nilai guna) dan harga (nilai tukar), namun ianya lebih dari itu dimana ia menandakan status, prestij dan kehormatan (nilai tanda dan nilai simbol). Nilai tanda dan nilai simbol yang berbentuk status, prestij, ekspresi gaya hidup, kemewahan dan kehormatan adalah motif utama aktiviti konsumer terhadap masyarakat. Hari ini, kita dikelilingi oleh keistimewaan yang menarik perhatian kita terhadap penggunaan dan kekayaan serta kestabilan oleh lambakan objek, servis dan produk yang baik. Ianya menyumbang kepada perubahan asas di dalam kehidupan manusia. Kehidupan manusia yang selesa tidak lagi dikelilingi oleh manusia yang lain seperti sebelumnya, tetapi ia mulai dikelilingi oleh objek.
Objek kegunaan harian mempunyai talian terhadap masyarakat konsumer. Masyarakat menggunakan objek kegunaan harian sebagai memenuhi kehendak kehidupan seharian. Objek kegunaan merangkumi peralatan asas kehidupan dan produk atau servis yang melengkapkan kehendak individu atau masyarakat. Menurut Turkle (2007) objek kegunaan harian dapat mewujudkan kesan emosi dan membentuk pemikiran intelektual yang membawa pemikiran manusia kepada bentukan memori, hubungan yang kekal diantaranya serta mewujudkan provokasi bagi membentuk idea dan tanggapan baru dan beliau juga percaya bahawa objek kegunaan harian menjadi peneman kepada sepanjang pengalaman kehidupan manusia. Ini membuka ruang bagi ahli falsafah, ahli psikologi, ahli sosiologi, jurutera, pereka dan pelukis untuk melihat setiap aspek kehidupan sebagai sumber rujukan menerusi pengkajian terhadap kehidupan seharian manusia dan hubungkaitnya dengan objek kegunaan harian. Objek-objek kegunaan harian yang berkait rapat dengan konsumerisme mampu memberi satu petunjuk untuk melihat corak kehidupan seharian manusia kontemporari.

Illustrasi 3: Ade Darmawan, Human Resource Development, Medium Campuran, 2012.
Ade Darmawan merupakan seniman kontemporari dari Indonesia. Beliau merupakan pelukis, kurator dan aktivis seni di Indonesia. Karya-karya beliau banyak menumpukan kepada persoalan konsumerisme dan budaya popular masyarakat kontemporari. Beliau banyak menghasilkan karya instalasi menggunakan objek kegunaan harian yang dijumpai atau beliau beli di pasar lambak (pasar yang menjual barangan terpakai). Proses karyanya adalah sistematik dan menyerupai kaedah kajian secara etnografi yang banyak menyelidik mengenai kehidupan seharian manusia. Pengaruh kaedah pameran dan analisis muzium digunakan di dalam karya-karya beliau bagi mewujudkan satu pertalian diantara seni dan sosiologi (Yap, 2014). Ade Darmawan menganggap bahawa barangan terbuang atau terpakai memberikan beliau peluang untuk mengkaji mengenai sejarah dan memori serta memberi satu petunjuk terhadap corak kehidupan masyarakat kontemporari. Ade Darmawan (2012) juga turut menegaskan bahawa sebagai pelukis yang menjalankan kajian (visual) secara etnografi, pelukis itu perlu menjadi pemerhati dan pencatat kepada fenomena-fenomena budaya dimana pelukis perlu berinteraksi dengan masyarakat bagi mengetahui sesuatu perkara dengan lebih jelas melalui masyarakat (Hujatnikajennong, Darmawan, Wiyanto, 2012).
Karya ‘Human Resource Development’ (2012) adalah merupakan karya berbentuk fakta, spekulasi dan satira terhadap cara bagaimana masyarakat mengharapkan keinginan, impian, ilusi, dan utopia (kearah kesempurnaan) yang ditafsir melalui hubungkaitnya dengan objek kegunaan harian dan konsumerisme (Hujatnikajennong, Darmawan, Wiyanto, 2012). Karya ini dihasilkan menerusi kaedah penyusunan, mengatur dan mengkonstruktif imej dan objek-objek jumpaan. Proses karyanya adalah sistematik dimana beliau mengkaji dan menyiasat buku-buku motivasi, barangan cenderamata, barangan memorabilia, perhiasan rumah di pasar lambak, serta imej-imej dari internet yang beliau temui dan mencetaknya untuk dijadikan hasil karya. Karya ini mengajak audiens untuk melihat kesan konsumerisme di dalam masyarakat serta untuk mencungkil permasalahan-permasalahan sosial di dalam masyarakat melalui penggunaan objek harian dan individu. Konsumerisme yang berlaku sehingga masa kini adalah berkait rapat dengan gaya hidup individu dan masyarakat. Karya ‘Human Resource Development’ oleh Ade Darmawan dirujuk dari segi penggunaan objek-objek harian yang dipamer mengikut kaedah pameran di muzium. Kaedah kajian beliau juga turut memperlihatkan interaksi diantara seni dan sosiologi.

Illustrasi 4: Tony Cragg, The Runner, Medium Campuran, 1985
Tony Cragg merupakan pelukis British dari U.K . Beliau merupakan salah seorang pelukis muda British yang mempelopori gagasan ‘Young British Artist’ yang merupakan satu kumpulan pelukis muda yang terkenal di dalam dunia seni visual sehingga kini. Kino (2011) sebagai pengarca Tony Cragg menyelidik dunia fizikal dengan tekun, di mana beliau berpendapat material (bahan) yang mengelilingi manusia merupakan sumber kepada pengetahuan dan setiap maklumat di dalam pemikiran manusia datang dari dunia material. Tony Cragg sangat taksub dengan material di mana setiap penghasilan karya arca beliau menggunakan objek atau bahan industri di sekeliling manusia. Fizikal dan emosi adalah berkait rapat dengan material dan ianya perlu didalam proses penghasilan karya seni serta pelukis bertanggungjawab untuk menentukan arah sesebuah ekspresi karya tersebut (Berk, 2012). Berk (2012) juga menjelaskan tema di dalam karya Tony Cragg berkait rapat dengan perhubungan diantara alam dan manusia dan beliau menganggap penggunaan objek-objek buatan manusia adalah mewakili alam dimana keadaan dunia moden yang dikelilingi oleh objek-objek keluaran insustri.
Tony Cragg memilih objek industri buatan manusia yang dimudah diperolehi disekeliling manusia dan ianya bersesuaian dengan kontek dimana kesan pembangunan dan perkembangan sains serta teknologi oleh manusia di muka bumi amat ketara. Manusia dan pembangunan adalah berkait rapat dengan objek, dimana setiap kehidupan manusia seharian dikelilingi dengan produk industri dan sebahagian dari produk tersebut merupakan objek-objek kegunaan harian. Di dalam karya Tony Cragg mungkin tidak menceritakan mengenai perihal konsumerisme dan hubungannya dengan masyarakat secara nyata, namun setiap objek (bahan) yang digunakan beliau merujuk kepada objek-objek konsumer yang mengelilingi kehidupan manusia. Hubungan diantara objek kegunaan harian dan manusia tidak dapat dipisahkan kerana ianya meliputi aspek fungsi objek terhadap manusia dan pengaruh memori di antara manusia dan objek harian (Elsner, Cardinal, 1994). Tony Cragg pernah menghasilkan siri karya yang menggunakan objek kegunaan harian yang ditampal di dinding galeri untuk membentuk satu imej ‘silhouette’ (rupa) yang membentuk imej botol, polis, penduduk asli Amerika, kuda dan sebagainya. Objek-objek yang digunakan meliputi barangan plastik seperti botol, permainan kanak-kanak dan objek kegunaan harian. Setiap objek tersebut diolah mengikut bentuk dan warna objek tersebut. Di antara karya beliau di dalam siri ini ialah karya bertajuk The Runner (1985).
Menerusi karya Tony Cragg, penyelidik melihat potensi objek kegunaan harian yang diolah menjadi bahan utama yang membentuk keseluruhan karya. Objek-objek tersebut tidak dimanipulasi dan beliau menggunakan potensi dan ciri-ciri fizikal yang terdapat pada objek tersebut secara menyeluruh. Hubungan objek kegunaan harian dan manusia membentuk struktur yang memberangsangkan di dalam karya beliau. Rujukan dari sudut komposisi dan struktur fizikal objek menarik perhatian penyelidik untuk melihat dan mengkaji karya Tony Cragg.
Kesimpulan.
Sejarah, perkembangan dan penghasilan karya seni visual memang tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti manusia. Instrumen dan kaedah baru di dalam sektor kesenian sentiasa dicipta untuk masyarakat lebih memahami kehidupan, budaya dan perkembangannya. Perkara ini menyebabkan manusia tidak hanya berharap kepada sains dan teknologi untuk melihat kehidupan dan perkembangannya. Pelukis bertanggungjawab untuk mencari satu persoalan yang wujud di dalam kehidupan masyarakat (Papastergiadis, 2010; Lapierre, 1946) dan menterjemahkannya kepada masyarakat untuk dikongsi sebagai satu penemuan ilmu dan fakta yang mampu menentukan nilai pada estetika karya seni dan memudahkan pemahaman terhadap perkembangan sosial budaya. Objek kegunaan harian merupakan produk konsumer yang wujud di dalam kehidupan manusia dari saat bayi dilahirkan sehingga meningkat dewasa. Manusia menggunakan objek kegunaan harian untuk keperluan kehidupan harian. Namun, disebalik perhubungan diantara pengguna dan objek kegunaan harian, terdapat nostalgia dan memori yang mampu dikenang samada secara sengaja atau pun tidak. Kajian ini dihasilkan untuk menyelidik hubungkait di antara momen dan memori terhadap objek kegunaan harian di dalam penghasilan karya seni. Momen dan memori mampu mewujudkan satu komunikasi terhadap pelukis dan audiens melalui karya seni. Satu perbualan mengenai objek kegunaan harian yang dipamer di dalam galeri mampu membuka kisah-kisah sejarah lalu yang dapat dikongsi bersama.
Bibliografi.
Ana Teixeira Pinto (2015). Arranged for Effect Essay, Dilawati pada 05/05/2015 di
http://marteeknaes.info/2013_texts_and_cv/Teixeiro_EknaesEngFINAL.pdf.
Baldwin, N. (1988). Man Ray : American Artist, New York : Clarkson N. Potter.
Baudrillard. J. (1970). The Consumer Society, London: SAGE, 1998, m/s. 28.
Berk, A. (2012). Shape Shifter, the computer in the oeuvre of Tony Cragg, dilawati pada 01/07/2015 di
http://anneberk.nl/articles-english/tony-cragg/.
Camic. P. M. (2004). Assemblage as Rorschach : Empirical Hermeneutic Aesthetics and the Art
Spectator, Lisbon : Gulbenkian Foundation, m/s. 228-231.
Camic. P. M. (2010). From Trashed to Treasured: A Grounded Theory Analysis of the Found Object
(online journal). Dilawati pada 05/05/2015 di http://www.researchgate.net/profile/Paul_Camic/publication/232454545_From_trashed_to
_treasured_A_grounded_theory_analysis_of_the_found_object/links/02bfe50f99a29ebf5d0
00000 pdf.
Childe. V. G. (1936), Man Makes Himself, London : Watts
Cotter. H. (2009). The Collected Ingredients of a Beijing Life. New York Times (online) – Art Review.
Published: July 14, 2009. Dilawati pada 25/06/2015 di
Cushman. D. (2010). Yin Xiuzhen : Collective Subconscious, Art Asia Pacific : Contemporary Visual
Culture, Issue 69 (Jul/Aug 2010), m/s. 126
Dewey. J. (1958). Art as Experience, New York : Capricorn Books
Elsner. J, Cardinal. R. (1994). The Cultures of Collecting, Massachusetts : Harvard University Press
Gascoygne. D. (1936). A Short Survey of Surrealism, London: Cobden Sanderson
Georgevits. S. (2007). Place of The Heart : Objects and Personal Memory (A Thesis submitted for the
degree of Master of Arts from the University of Technology Sydney). Dilawati pada 20/06/2015 di https://opus.lib.uts.edu.au/research/bitstream/handle/2100/978/02whole.pdf?sequence=2
Horkheimer. M, Adorno. T. W. (2002). The culture industry: Enlightenment as Mass Deception,
Stanford University Press, m/s. 94–136.
Hujatnikajennong. A, Darmawan. A, Wiyanto. H. (2012). Apokalips Di Pasar Loak : Kehidupan
Pasca Konsumsi (e-katalog ), Ark Galerie : www.arkgalerie.com
Hung. W. (2009). Zhao Xiangyuan & Song Dong, Japan : Tokyo Gallery + BTAP.
Inglis. D. (2005). CULTURE AND EVERYDAY LIFE. (First published printed in the USA and Canada by
Routledge). London and New York : Taylor & Francis e-Library (http://www.ebookstore.tandf.co.uk/), m/s. 1-2
Jean Baudrillard : Wikipedia, The Free Encyclopedia, dilawati pada 27/05/2015 di
http://en.wikipedia.org/wiki/Jean_Baudrillard
Jode. D. M, Barthel. R, Smith. A. S. (2013). Tales of Things: interacting with everyday
objects in an NFC world. Centre for Advanced Spatial Analysis
University College London, Gower Street, London, WC1E 6BT. V, dilawati pada 25/06/2015 di http://downloads.bbc.co.uk/rd/pubs/conferences/internet_of_things_2013/Tales_of_Things.
Kino. C. (2011). The Brilliance of Tony Cragg, dilawati pada 01/07/2015 di
http://www.carolkino.com/docs/The%20Brilliance%20of%20Tony%20Cragg.pdf
Krischer. O. (2013). Mourning and Remembrance; Reinforcing the Power of Simple Actions.
Contemporary Visual Art+Culture Broadsheet 42.1 2013. Dilawati pada 25/06/2015 di http://www.cacsa.org.au/Wordpress/yoo_bigeasy_demo_package_wp/wp-content/uploads/Broadsheet/2013/42_1/BS_42_1_Kirchner.pdf
Masters. H. G. (2009). Yin Xiuzhen : Fabric of Society, Art Asia Pacific : Contemporary Visual Culture.
Issue 62 (Mar/Apr 2009), m/s. 102 – 107
Mills. C. (2009). Materiality as the Basis for the Aesthetic Experience In Contemporary Art. (Master
Thesis), dilawati pada 29/04/2015 di http://www.umt.edu/art/sites/default/files/documents/graduate/Mills_Christina%20MA%20Art%20History.pdf
Norman. D. A. (1990). The Design Of Everyday Things, United States of
America: Doubleday Dell Publishing Inc.
Neville. B, Villeneuve. J (2002). Waste-Site Stories: The Recycling of Memory, Albany: State
University of New York Press.
Papastergiadis. N. (2010). Spatial Aesthetics, Art, Place and the everyday. Institute of Network
Cultures, Amsterdam, m/s. 21
Richter. H. (1965). Dada : Art and Anti Art, London : Thames & Hudson, m/s. 128
Giorgio. R, O’Brien. P. K. (2004). Reconstructing the Industrial Revolution: analyses, perceptions and
conceptions of Britain’s precocious transition to Europe’s first industrial society, Economic History Working Papers, 84/04. Department of Economic History, London School of Economics and Political Science, London, UK.
Simmel. G. (1950). ‘Metropolis and Mental Life’, in Kurt H. Wolff (trans. and ed.) The Sociology of
Georg Simmel, New York: Free Press.
Tomlinson. J. (1997). Cultural Imperialism: A Critical Introduction, London: Pinter, m/s. 174
Turkle. S. (2007). Evocative Objects : Things We Think With, Massachussets, Cambridge : MIT Press,
m/s. 8.
Twitchell. J. B (2002). Living It Up: Our Love Affair with Luxury. New York: Columbia University
Press.