PERIPETEIA : Legasi Titik Pemula Buat Pelukis

Oleh : Mohamad Hafiz b. Yahaya

2015

PERIPETEIA: Legasi Titik Pemula Buat Pelukis. Published in Final Year M.A (mix mode)

 

 

“A man doesn’t become a hero until he can see the root of his own downfall.” Aristotle

 

Peripeteia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud berubah secara tiba-tiba; satu giliran acara secara tidak disangka atau satu pembalikan yang tidak diduga, terutama sekali dalam karya sastera.  Peripeteia juga boleh difahami dengan maksud turning point (titik perubahan), wikipedia (2015). Perubahan boleh wujud dalam pelbagai bentuk di dalam kehidupan seharian manusia.  Perubahan boleh datang dalam bentuk yang begelora atau tenang seperti bongkah ais yang hanyut.  Perubahan juga boleh muncul dalam situasi tragedi atau musibah yang dahsyat, keadaan membuat pilihan yang sukar, putus perhubungan atau muncul di dalam bentuk peluang yang baru.  Aristotle membicarakan mengenai titik perubahan (peripeteia) di dalam drama Poetics, di mana perubahan dalam bentuk tragik terhadap nasib protagonis, bermula dari nasib baik kepada nasib buruk serta mewujudkan satu plot berbentuk tragedi.  Perubahan nasib protagonis ini juga dilihat sebagai perubahan yang mengejutkan penonton, Ensiklopedia Britannica (2015). 

Amalan praktis seni visual merangkumi idea yang membentuk proses penghasilan karya seni.  Tanpa menghiraukan sumber rujukan, pemilihan media atau penggunaan imej, pelukis mengaplikasikan praktis individu  dengan  mengawal penghasilan dan persembahan artifak sebagai bentuk pengetahuan.  Lantas, imej dan idea yang dihasilkan mempunyai kapasiti untuk tidak cuma menukar perspektif pelukis terhadap realiti, tetapi ianya juga telah mempengaruhi persepsi audiens terhadap karya pelukis.  Menurut  Leo Tolstoy, seni ialah aktiviti manusia yang mengandungi kesedaran individu dengan maksud merujuk kepada petanda luaran, lalu menyampaikan kepada individu yang lain  mengenai perasaan dan pengalaman yang dirasai, serta individu tersebut akan terpengaruh dengan perasaan ini lalu berjangkit dengannya.  Individu yang menerima penyataan perasaan dan pengalaman individu yang lain melalui perasaan sendiri akan mewujudkan aktiviti dasar yang membentuk seni, Popova (2013).

Pada sekitar tahun 1990 an, pelukis telah menukar kaedah metodologi kajian mengikut kaedah mereka sendiri.  Ianya adalah perkara biasa bagi pelukis yang menghasilkan karya melalui penglibatan secara langsung dengan berbagai bidang.  Masa silam tidak membicarakan seperti apa yang dibicarakan oleh Foucault sebagai ‘monumen’ tetapi sebagai ‘dokumen’ yang menjadi dialog pada masa kini.  Pelukis kontemporari juga menegaskan yang pengalaman di dalam dunia seni tidak dapat dipisahkan oleh aktiviti sosial yang wujud dan berkembang di dalam ruang kotaraya, Papastergiadis (2010).  Pengkaji sejarah seni di abad ke-21 masih bergelut di dalam menentukan sama ada pentingnya membahaskan mesej dan maksud sesebuah karya atau cuma memperhalusi apresiasi terhadap bentuk karya seni sahaja.  Di dalam konteks globalisasi, dipercayai perlunya perdebatan mengenai bentuk dan makna karya seni dengan merujuk kepada kehidupan seharian yang dinamik.  Percampuran tanda dan konsep yang mewakili sumber tempatan dan global mempengaruhi pembentukan budaya harian.  Pelukis tidak dapat lari dari terlibat secara langsung di dalam dialog mengenai masyarakat sosial, politikal, estetik dan realiti kehidupan manusia di zamannya, Rump (2009).  

Peripeteia sebagai satu gagasan atau agen perubahan dalam praktis individu.  Pelukis perlu mencabar kemampuan diri bagi mencari makna ekspresi yang lebih luas.  Tidak hanya tertumpu kepada bentuk dan gaya seni semata-mata, tetapi mampu melebarkan ke dalam konteks yang meluas seperti sosial, politik, ekonomi, sejarah dan lain-lain.  Peripeteia juga memberi erti bahawa pelukis perlu memecahkan tradisi konvensional bagi mendapatkan hasil yang bersifat serampang dua mata.  Pengalaman berkarya pada masa lalu  tidak semestinya ditinggalkan, malahan satu post mortem perlu dijalankan bagi mencari hasil karya yang baru serta setanding dengan pelukis di luar Negara.  Pelukis perlu meneliti keseluruhan praktis berkarya serta menganalisa mengenai aspek menarik yang boleh diketengahkan bagi mewujudkan satu bentuk karya baru.  Deconstruction ialah sikap, keadaan fikiran, dan ketentuan. Kadang kala pemahaman deconstruction terhadap estetik yang rumit boleh membawa kepada reconstruction kepada keadaan yang asal, Rump (2009).  Pelukis boleh memulakan satu deconstruction terhadap beberapa konsep dan melakukan reconstruction atau susunan pemikiran yang kompleks bagi mencapai ekspresi yang ideal.  

katalog
Muka depan katalog pameran

Pameran Peripeteia merupakan Pameran Sarjana Program Mod Campuran Seni Visual dan Reka Bentuk Universiti Sains Malaysia.  Lapan orang pelajar yang terdiri dari latar belakang pengkhususan disiplin seni yang berbeza telah menyertai program ini yang bermula pada bulan September 2014.  Disiplin pengkhususan pelajar terdiri dari bidang seni halus, seramik dan seni reka grafik.  Peripeteia menjadi simbolik kepada turning point dalam praktis individu.  Program Sarjana Mod Campuran Seni Visual dan Reka Bentuk Universiti Sains Malaysia merupakan inkubator buat para pelajar mengekspresikan pengalaman artistik individu disamping mengembangkan kajian visual masing-masing.  Jika Aristotle menegaskan mengenai titik perubahan (peripeteia) protagonisnya di dalam drama Poetics, yang membuatkan penonton terkejut, mungkin program ini juga mampu untuk menjadi satu titik perubahan yang boleh dijadikan satu formula baru di dalam mengembangkan bentuk dan konsep karya individu dimasa hadapan serta mencetuskan transisi pemahaman kepada peminat seni di tanah air terhadap karya seni.

Sarjana Program Mod Campuran Seni Visual dan Reka Bentuk Universiti Sains Malaysia adalah program yang menggabungkan mod kerja kursus serta mod penyelidikan.  Program ini diwujudkan bagi mencetuskan satu bentuk pemikiran baru buat pelukis dan pereka bagi menemukan bentuk kesenian atau ekspresi baru di dalam amalan praktis studio individu.  Penyelidikan dan kerja kursus digabungkan bagi membimbing pelajar terhadap praktis studio serta menghasilkan satu kajian yang baik malah boleh diketengahkan dan diperbahaskan ke dalam bidang akademik.  Penyelidikan berasaskan seni membolehkan penyelidik menemukan perkembangan perspektif dan sensitiviti terhadap kehidupan dengan penyertaannya di dalam bidang kesenian lalu membentuk generasi dan persembahan data yang kukuh sebagai bukti kajian.  Ianya boleh diperluaskan dengan pemahaman penyelidik terhadap sesuatu perkara dan situasi melalui karya seni yang mewakili pemahaman terhadap kehidupan manusia.  Penyelidikan yang melibatkan penghasilan teks dan data bertulis, objek, imej, dan artifak yang pada awalnya tidak dapat dibezakan dengan hasil karya visual menerusi penerokaan idea, tema, dan isu yang berkait dengan masyarakat seakan membentuk pemahaman terhadap persekitaran.  Penyelidikan berasaskan seni difahami sebagai bentuk kajian yang mempunyai banyak bentuk persembahannya, namun ia sebenarnya mudah difahami sebagai “cara untuk mengetahui”, Thompson (2006).

pameran
Sekitar ruang pameran
karya
Karya Mohamad Hafiz b Yahaya bertajuk Things I Own
karya 2
Karya Mohd Zahari b Mat Nor bertajuk Pendamping I
ruang
Sekitar ruang pameran
karya 3
Karya Nik Mohd Husyaidie b. Che Hussin bertajuk Simbol Alam I
ruang 2
Sekitar ruang pameran
ruang 3
Sekitar ruang pameran
karya 4
Karya Rosmidahanim bt Rozali bertajuk Warna-Warni Kehidupan.

* Pameran Peripeteia akan berlangsung dari dari 07Jun sehingga 31 Julai di Muzium Negeri Pulau Pinang, Macalister Road Georgetown, Pulau Pinang. Peserta pameran ini ialah : Mohd  Zahari Mat Nor, Ali Shariati Ahmad Suhaimi, Asrul Nizuan Ariffin, Mohamad Hafiz Yahaya, Rosmidahanim Rozali, Muhammad Nor Afif Mohd Nor, Nik Mohd Husyaidie Che Husin, Mohamad Adzan Mohd Zaini.

Rujukan :

 

Papastergiadis. N, (2010). Spatial Aesthetics, Art, Place and the Everyday. Institute of Network Cultures, Amsterdam. Hlm.  : 16, 17

Peripeteia. (2015, May 4). In Wikipedia, The Free Encyclopedia. Retrieved 16:42, May 31, 2015, from http://en.wikipedia.org/w/index.php?title=Peripeteia&oldid=660697428

Peripeteia. (2015). In Encyclopædia Britannica. Retrieved from http://global.britannica.com/EBchecked/topic/452000/peripeteia

Popova. M (2013). Leo Tolstoy on Emotional Infectiousness and What Separates Good Art from Bad. Retrieved on 01/06/2015 at http://www.brainpickings.org/2013/09/09/leo-tolstoy-what-is-art-infectiousness/

Rump.G.C (2009). Reconstructing Deconstruction Five Artists and their Analysis of the Relations Between Reality and Myth at Caprice Horn Gallery in Berlin, Germany. Retrieved on 01/06/2015 at http://stevesabella.com/Reconstructing-Deconstruction-Contemporary-Practices-Volume-5-p-98-99-Gerhard-Rump.pdf. hlm. 92 & 98

Thompson, C. (2006, July 31). Art practice as research: A review essay. International Journal of Education & the Arts, 7(Review 3). Retrieved [01/06/2015] from http://ijea.asu.edu/v7r3/.

TOP